Hikayat Si Miskin



Tajuk: Hikayat Si Miskin

Penyelenggara: Abu Bakar Hamid

Penerbit: DBP, Kuala Lumpur

Tahun penerbitan: 2016

Bil. halaman: 113

Ulasan:

Tajuk hikayat ini agak mengelirukan kerana ia bukan kisah tentang orang miskin pada zaman dahulu kala. Kalau dia hidup zaman sekarang, boleh dikategorikan sebagai golongan B40 dan layak menerima bantuan kebajikan daripada kerajaan.

Watak utama dalam Hikayat Si Miskin ialah seorang putera raja bernama Marakarmah yang susur galurnya dikatakan berasal dari raja keinderaan. Yang bergelar Si Miskin ialah ayahandanya yang dalam penghujung bab 1 ditabalkan menjadi raja bergelar Maharaja Indera Angkasa di negeri Anta Beranta.

Kehidupan Marakarmah dan adindanya, Tuan Puteri Nila Kesuma menjadi susah selepas dibuang oleh ayahandanya yang terlalu percaya dengan ramalan ahli-ahli nujum. Kononnya, mereka membawa celaka. Sebenarnya, ada yang dengki dengan Maharaja Indera Angkasa.

Susah mereka pun bukan untuk selama-lamanya. Marakarmah berkahwin dengan puteri raja yang dibebaskan daripada tawanan gergasi. Adindanya pula bertemu jodoh dengan seorang putera. Selepas menang dalam peperangan melawan Maharaja Indera Dewa, Marakarmah akhirnya ditabalkan menjadi raja di Anta Beranta. Kesudahannya semua gembira kecuali Si Miskin atau Maharaja Indera Angkasa yang hilang kuasa dan hidup melarat selepas membuang kedua-dua anakandanya.

Pengajaran daripada hikayat ini: Janganlah terlalu percaya dengan fitnah orang sampai tergamak membuang anak sendiri.

Belajar perumpamaan yang agak menarik: "tertawa-tawa seperti batu runtuh bunyinya."

(Habis dibaca pada 9 Disember 2018)

Comments

Popular posts from this blog

Hikayat Gul Bakawali: Kalau sudah jodoh tidak ke mana

Badak makan anak dalam Hikayat Raja Pasai