Hikayat Langlang Buana
Tajuk: Hikayat Langlang Buana
Penyelenggara: Mohd. Yusof Md. Nor
Penerbit: DBP, Kuala Lumpur
Tahun penerbitan: 2016
Bil. halaman: 126
Ulasan:
Watak utama dalam hikayat ini, Raja Indera Bumaya boleh disifatkan sebagai seorang kasanova yang sanggup berperang semata-mata kerana perempuan. Matlamat utamanya adalah untuk memikat Tuan Puteri Kusuma Dewi iaitu puteri Maharaja Puspa Indera Keinderaan yang merupakan cucu Langlang Buana.
Setelah sedar dari pengsan akibat takjubnya semasa melihat gambar Tuan Puteri Kusuma Dewi, Raja Indera Bumaya memulakan pengembaraan mencari wanita idaman hatinya. Dalam perjalanan, sempat pula dia singgah di sebuah negeri yang diperintah oleh seorang peri bernama Raja Bahrum Dewa dan cuba memikat Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
Peperangan berlaku apabila Raja Bahrum Dewa menyedari Raja Indera Bumaya menceroboh masuk ke dalam mahligai dengan menjelmakan dirinya sebagai seekor burung bayan untuk bertemu dengan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Ramai rakyat Raja Bahrum Dewa yang terkorban di tangan Raja Indera Bumaya yang berperang sendirian sahaja. Sebaik sahaja baginda tahu lelaki yang cuba memikat anakandanya itu sebenarnya seorang anak raja, Raja Bahrum Dewa mengarahkan serangan dihentikan dan membenarkan Raja Indera Bumaya dan Tuan Puteri Mandu Ratna berkahwin. Sia-sia sahaja nyawa rakyat yang terkorban.
Kemudian, Raja Indera Bumaya meneruskan misinya. Dia menggoda Bidadari Seludang Mayang dalam usaha mencari jalan masuk ke mahligai yang didiami Tuan Puteri Kusuma Dewi. Walaupun telah diberitahu oleh Bidadari Seludang Mayang bahawa Tuan Puteri Kusuma Dewi sudah ditunangkan dengan Raja Indera Syahperi, Raja Indera Bumaya tetap tidak mahu berganjak. Memang degil betul.
Dipendekkan cerita, Raja Indera Bumaya dapat bertemu dengan puteri idamannya dan Raja Indera Syahperi melancarkan serangan kerana murka bila tunangnya diganggu lelaki lain. Sekali lagi, ramai rakyat yang terbunuh dalam peperangan yang tidak memberi satu faedah pun kepada mereka. Lebih-lebih lagi, raja mereka tewas dan akhirnya, Tuan Puteri Kusuma Dewi menjadi milik Raja Indera Bumaya.
Tidak diketahui siapa sebenarnya penulis hikayat yang berlatarkan Tanah Jawa ini. Mungkin Hikayat Langlang Buana dikarang sebagai satu sindiran sinis terhadap golongan kraton pada zamannya yang terlalu menurutkan hawa nafsu sehingga tidak mempedulikan hidup atau mati rakyat. Sindiran itu masih relevan sehingga zaman sekarang.
(Habis dibaca pada 14 Disember 2018)
Comments