Dialog Kecil Pyanhabib





Tajuk: Dialog Kecil Pyanhabib

Penulis: Pyanhabib

Penerbit: ITBM, Kuala Lumpur

Tahun penerbitan: 2017

Bil. halaman: 243

Ulasan:

Dalam dunianya yang senyap, Pyanhabib lantang menyuarakan pandangannya secara jujur dan berterus terang. Mungkin ada yang dibicarakan dalam buku ini memedihkan telinga pihak yang termakan cili, tetapi itu lebih baik daripada pujian melambung yang berlatarkan kepura-puraan. 

Bahagian pertama Balada Kecil Pyanhabib menghimpunkan 26 wawancara beliau bersama para penggiat teater, sasterawan, penulis, pelukis, penyair, kartunis dan pemuzik yang dirakamkan dalam majalah Mastika sekitar 1980-an dan 1990-an. Sudah jarang ditemukan wawancara sebegini dalam media massa arus perdana atau portal berita. Yang lebih ditonjolkan lazimnya politikus-politikus yang gemar berpura-pura. Segmen seni pula dibanjiri dengan gosip-gosip artis popular yang tidak memberi tambah nilai kepada masyarakat.

Wawancara bersama kartunis Ujang amat menarik perhatian saya. Sudah tentu siri kartun Aku Budak Minang menjadi latar utama soalan-soalan yang dilontarkan Pyanhabib. Saya mengikuti siri itu dari mula sampai habis dan agak musykil apabila pada pengakhirannya, rumah godang iaitu rumah pusaka diwariskan kepada Ujang. 

Perkara itu melanggar kelaziman dalam Adat Perpatih di mana harta pusaka di bawah sistem adat hendaklah diwarisi oleh anak perempuan dari suku terbabit. Mungkin Ujang dan saya berkongsi pandangan yang sama setelah melihat banyak rumah-rumah pusaka di tanah adat sekitar Negeri Sembilan terbiar begitu sahaja dan akhirnya roboh menyembah bumi. Memang membazir kerana rumah-rumah pusaka itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan ada yang dibina oleh tukang-tukang rumah yang dijemput khas dari ranah Minang.

Anak-anak perempuan tidak lagi tinggal di kampung selepas berkahwin. Anak-anak lelaki pula memang suka duduk di kampung tetapi terpaksa membeli tanah atau rumah lain kerana mereka tidak berhak mewarisi tanah adat dan rumah godang.

Bahagian kedua atau bonus yang berjudul Teruskan Saja, Bib! mengandungi 20 catatan Pyanhabib yang pernah disiarkan dalam Mastika. Untuk menjadi seorang Pyanhabib, jiwa mesti cekal dan kental. Saya juga pernah berangan-angan untuk menjadi seniman jalanan semasa remaja dahulu tetapi saya tidak cukup cekal dan kental bila dewasa.

Coretan-coretan Pyanhabib juga mengajar saya bahawa kita tidak seharusnya terlalu bergantung simpati kepada orang lain untuk terus hidup. Jangan pedulikan cakap-cakap orang juga. Bila sudah bulat tekad untuk melakukan sesuatu, teruskan sahaja dan jangan lagi menoleh ke belakang. Susah atau senang, hidup mesti diteruskan.

(habis dibaca pada 20 Disember 2018)

Comments

Popular posts from this blog

Hikayat Gul Bakawali: Kalau sudah jodoh tidak ke mana

Hikayat Si Miskin

Badak makan anak dalam Hikayat Raja Pasai