Hikayat Gul Bakawali: Kalau sudah jodoh tidak ke mana



Tajuk: Hikayat Gul Bakawali

Penyelenggara: Siti Hawa Haji Salleh

Penerbit: DBP, Kuala Lumpur

Tahun penerbitan: 2016

Bil. halaman: 144

Kalau jodoh sudah ditakdirkan, sebesar mana pun dugaan yang datang pasti ditakdirkan bersama jua akhirnya. Hikayat Gul Bakawali yang berasal dari Parsi menyimpulkan perkara itu menerusi kisah dua watak utamanya iaitu Taju'l Muluk dan Puteri Bakawali.

Hidup Taju'l Muluk bukannya mudah selepas beliau diusir oleh ayahandanya Zainu'l-Muluk yang bertakhta sebagai raja di Syarqastan. Menepati ramalan ahli nujum, Zainu'l Muluk menjadi buta setelah terpandang wajah Taju'l Muluk ketika anakandanya itu berusia 12 tahun.

Wira dalam hikayat ini digambarkan sebagai seorang tokoh yang berkemahuan tinggi serta tidak mudah mengalah dalam usaha mendapatkan apa yang diinginkannya. Walaupun dihalau, Taju'l Muluk tetap berusaha dan berjaya memperolehi bunga bakawali yang dikatakan boleh memulihkan penglihatan Zainu'l Muluk.

Bunga itu hanya terdapat dalam taman yang didiami Puteri Bakawali serta dikawal ketat bagi menghalang sesiapa pun daripada menceroboh. Setelah menempuh pelbagai cabaran, Taju'l Muluk berjaya memasuki taman tersebut dan mengambil bunga bakawali. Ketika itu juga beliau terpandang Puteri Bakawali yang sedang lena beradu lantas jatuh hati kepadanya.

Namun, empat kekanda Taju'l Muluk telah memperdayakannya dan merampas bunga bakawali. Mereka seterusnya mempersembahkan bunga itu kepada Zainu'l Muluk sambil mendakwa mereka yang menemukannya. Walau bagaimanapun, kebenaran terserlah jua dan akhirnya, Zainu'l Muluk mengetahui sebenarnya Taju'l Muluk yang mendapatkan bunga bakawali.

Taju'l Muluk tidak bertepuk sebelah tangan kerana Puteri Bakawali juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Cuma mereka berdepan masalah besar apabila ayahanda Puteri Bakawali, Fairuz Syah dan bondanya, Permaisuri Jamilah Khatun yang berasal dari keturunan peri tidak bersetuju Puteri Bakawali dijodohkan dengan seorang manusia.

Setelah menempuh banyak halangan termasuk dilempar oleh Permaisuri Jamilah Khatun ke lautan, Taju'l Muluk bersatu juga dengan Puteri Bakawali akhirnya. Hikayat belum lagi tamat di sini.

Puteri Bakawali sebenarnya dipaksa menari di kayangan setiap malam di hadapan raja Amar Negara iaitu Maharaja Betara Indera. Selepas berkahwin dengan Taju'l Muluk, Puteri Bakawali tidak lagi naik ke kayangan dan perkara itu menyebabkan Maharaja Betara Indera murka.

Dipaksanya Puteri Bakawali naik ke kayangan setiap malam dan dibakar sehingga menjadi abu sebelum dihidupkan semula untuk menari di hadapan raja Amar Negara itu. Taju'l Muluk yang menyedari kehilangan isterinya setiap malam kemudian mencuri-curi naik ke kayangan dan menyamar sebagai pemukul gendang yang mengiringi persembahan tarian Puteri Bakawali.

Maharaja Betara Indera  sangat terhibur dengan persembahan itu dan mengatakan Puteri Bakawali boleh meminta apa sahaja yang diinginkannya. Maka, Puteri Bakawali memohon diberikan kepadanya pemukul gendang yang memang diketahuinya ialah Taju'l Muluk.

Apabila diketahuinya pemukul gendang itu ialah Taju'l Muluk, Maharaja Betara Indera menyumpah Puteri Bakawali menjadi batu dari kaki hingga ke pusat dan terpisah dengan suaminya selama 12 tahun. Puteri Bakawali juga dibuang ke negeri Sarandib dan ditempatkan di dalam rumah berhala di sebuah dusun bernama Sangkaldib.

Taju'l Muluk juga berkahwin dengan Puteri Citrawati yang merupakan anakanda raja Serandib, Catarsing. Baginda sangat berang setelah dimaklumkan orang suruhannya bahawa Taju'l Muluk bertemu dengan Puteri Bakawali di sebuah berhala.

Maka Catarsing mengarahkan rumah berhala itu dirobohkan. Seorang tukang minyak bijan kemudian berladang di atas tanah tapak berhala tersebut dan isterinya yang mandul mengandung setelah memakan bijan yang pertama dituai.

Kononnya anak yang dikandung itu adalah Puteri Bakawali dan apabila genap usianya 12 tahun, Taju'l Muluk pun berkahwin semula dengan Puteri Bakawali. Selain Puteri Bakawali dan Puteri Citrawati, Taju'l Muluk turut berkahwin dengan Puteri Mahmudah. Lebih kurang seperti dalam filem Madu Tiga.

Bunga bakawali juga mempunyai kisah tahyul yang tidak dinyatakan dalam hikayat ini. Kononnya seorang puteri akan keluar dari kelopak bunga itu pada malam bulan mengambang penuh dan menari. Arwah emak saya pernah menanam bunga bakawali namun tidak pula dapat dilihat puteri keluar dari kelopaknya.


(Habis dibaca pada 7 Januari 2018.)

Comments