Kisah penjual ubat dalam Kena Main

 



KHATAM
Tajuk: Kena Main
Penulis: Khalid Salleh
Penerbit: ITBM, Kuala Lumpur
Tahun diterbitkan: 2015
198 halaman
Coretan pasca khatam:
JUAL UBAT merupakan salah satu judul drama dalam buku ini selain Kena Main, Si Bereng-Bereng dan Seng Ora-Ora.
Cuma saya amat tertarik dengan Jual Ubat sebab skripnya mengimbau kenangan semasa zaman remaja di bangku sekolah menengah sekitar lewat 1980-an dan awal 1990-an.
Bila cuti panjang, saya akan naik bas ekspres di Pudu Raya untuk pulang ke kampung.
Selalunya saya sampai dua atau tiga jam lebih awal dan sementara menunggu bas ekspres Rembau-Tampin tiba, saya merayau di sekitar kawasan Pudu Raya.
Biasanya saya suka melihat gelagat seorang penjual ubat dengan gimik yang unik iaitu pameran bongkah batu besar berdiri atas botol kaca.
Lokasinya kalau tak silap di depan Hotel Ancasa sekarang.
Kisah yang disampaikan dalam skrip Jual Ubat memang mirip dengan apa yang saya saksikan puluhan tahun yang lalu.
Sampai sekarang saya memikirkan bagaimana penjual ubat itu boleh membuatkan bongkah batu besar berdiri atas botol.
Pada mulanya saya menyangka mungkin Allahyarham Pak Khalid adalah salah seorang penonton yang menyaksikan gimik itu.
Hati saya pun tergerak untuk buat carian Google.
Maklumat dalam Wikipedia menyatakan Allahyarham Pak Khalid pernah menjadi penjual ubat di sekitar Jalan Benteng, KL.
Apakah mungkin penjual ubat yang saya lihat semasa zaman remaja itu ialah Allahyarham Pak Khalid?
Saya pun tak ingat rupa penjual ubat itu sebab mata dan fikiran saya lebih fokus kepada bongkah batu besar yang berdiri atas botol.

Comments

Popular posts from this blog

Hikayat Gul Bakawali: Kalau sudah jodoh tidak ke mana

Hikayat Si Miskin

Badak makan anak dalam Hikayat Raja Pasai