Nyawa di hujung senjata
Penulis: Ganase Jaganathan
Penerbit: DBP, Kuala Lumpur
Tahun penerbitan: 2015
Bil. halaman: 302
Ulasan:
Tidak dapat digambarkan betapa getirnya detik-detik yang dilalui Leftenan Kolonel (B) Ganase Jaganathan sepanjang tempoh 21 hari berada dalam tawanan puak pemberontak Revolutionary United Front (RUF) di Sierra Leone mulai 1 hingga 21 Mei 2000.
Beliau yang ketika itu berpangkat Mejar dalam Tentera Darat bertugas sebagai Pegawai Pemerhati Tentera Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Makeni, Sierra Leone di bawah mandat Misi Pengaman PBB di Sierra Leone (UNAMSIL).
Tempoh 21 hari mungkin dilihat agak singkat tetapi jika berada dalam tawanan pemberontak bersenjata dan kejam, setiap hari yang dilalui dirasakan amat panjang. Ganase dan semua pegawai serta anggota pengaman PBB yang ditawan terpaksa hidup dalam keadaan serba daif seperti kekurangan makanan, persekitaran yang kotor dan penjagaan kesihatan yang tidak sempurna.
Layanan buruk daripada anggota-anggota pemberontak yang mabuk kerana meminum 'poyo' dan khayal akibat menghisap ganja lebih memburukkan keadaan. Selain dipukul dan didera, nyawa tawanan sentiasa diancam oleh ketua-ketua pemberontak yang fikiran mereka tidak lagi rasional.
Semasa mula ditawan, Ganase dibelasah dengan udi senjata sebelum ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi. Kemudian, seorang anggota pemberontak menekan muncung pistol pada kepala Ganase sambil mengancam untuk membunuh beliau.
Keluarga Ganase di Malaysia turut mengharungi detik-detik cemas sepanjang tiga minggu beliau ditawan. Kumpulan pemberontak RUF terkenal dengan tindakan kejam mereka membunuh serta mengudungkan tangan atau kaki sesiapa sahaja yang dianggap musuh.
Setelah dibebaskan pada 22 Mei 2000, Ganase tetap komited meneruskan misinya sehingga ia berakhir pada Julai 2000. Beliau turut menerima pujian daripada pegawai-pegawai atasan UNAMSIL atas keberanian dan sentiasa membantu tahanan-tahanan lain semasa mereka ditawan pemberontak.
Kesihatan Ganase juga terjejas dan beliau dimasukkan ke hospital selama lebih dua minggu mulai awal Februari 2001. Kiraan platlet darahnya sangat rendah dan doktor mengesyaki ia berpunca daripada virus yang dijangkiti daripada sumber air minuman yang tidak bersih di kem tahanan.
Sepanjang pertempuran, seramai 14 anggota Pengaman PBB terkorban dan ramai yang tercedera. Ganase turut menyuarakan kehairanannya dengan sikap anggota-anggota Pengaman PBB dari negara-negara Kesatuan Afrika yang enggan melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri daripada serangan puak pemberontak. Malah, mereka menyerahkan semua senjata, kenderaan dan aset kepada pemberontak tanpa sebarang tentangan.
Sememangnya, pengalaman perit yang diharungi Ganase mengingatkan kita semua tentang pengorbanan yang dicurahkan oleh pasukan keselamatan yang sanggup menggadaikan nyawa demi melaksanakan tugas yang diamanahkan.
(Habis dibaca pada 8 Februari 2019.)
Comments