Antimaterialisme dalam cerpen-cerpen D. H. Lawrence
Tajuk: D.
H. Lawrence – Selected Tales
Penulis: D.
H. Lawrence
Penerbit:
Heinemann, London
Tahun
penerbitan: 1988
Bil.
Halaman: 236
Ulasan:
Sebanyak
11 cerpen nukilan D. H. Lawrence dalam antologi ini berkisar tentang kehidupan masyarakat
di England terutamanya golongan buruh sekitar era sebelum dan selepas Perang
Dunia Pertama. Empat karyanya iaitu Odour
of Chrysanthemums, Strike-Pay, The Christening dan Daughters of the Vicar berlatarkan suasana di kawasan perlombongan
arang batu yang sebenarnya begitu dekat di hati Lawrence.
Beliau
dilahirkan pada tahun 1885 dan dibesarkan di perkampungan lombong arang batu yang
bernama Eastwood di Nottingham. Justeru, kehidupan pelombong arang batu yang sentiasa
dalam kesulitan dan kesempitan yang diketengahkan dalam cerpen-cerpennya adalah
berdasarkan pengalaman yang diharunginya sendiri ketika kecil.
Empat
kisah lain iaitu Tickets, Please, Monkey Nuts, Fanny and Annie dan You
Touched Me memaparkan tentang kesukaran wanita-wanita di England pada era
tersebut untuk mencari pasangan hidup yang sesuai. Seperti yang ditekankan
dalam Fanny and Annie serta You Touched Me, restu ibu bapa masih mempunyai
pengaruh yang besar dalam menentukan jodoh yang sesuai untuk anak perempuan
mereka. Namun, Tickets, Please dan Monkey Nuts agak berbeza kerana
watak-watak heroin dalam kedua-duanya digambarkan sebagai ‘perigi mencari timba’.
Tiga lagi
cerpen yang masing-masing berjudul The
Rocking-Horse Winner, The Man who
loved Islands dan Things berunsur
satira yang menyindir golongan kelas pertengahan atasan yang taksub dengan
materialisme sehingga mengetepikan aspek kemanusiaan dalam kehidupan. Kanak-kanak
lelaki bernama Paul dalam The Rocking-Horse
Winner dibesarkan dalam keluarga yang kaya namun sentiasa tidak cukup wang
kerana suka berbelanja besar untuk menjaga status mereka.
Watak
seorang lelaki bernama Cathcart dalam The
Man who loved Islands pula mempunyai ‘ketamakan’ tersendiri di mana dia
membeli tiga pulau yang terpencil semata-mata kerana mahu lari daripada
dikelilingi orang ramai. Malah, dia tergamak meninggalkan pasangannya yang
bernama Flora dan anak perempuannya yang baru dilahirkan di pulau yang kedua
dan berhijrah ke pulau ketiga yang lebih kecil dan sunyi.
Things pula agak berbeza kerana watak-watak utamanya
ialah pasangan Erasmus dan Valerie Melville dari Amerika Syarikat. Mereka yang
digambarkan sebagai idealis sejati berasal dari New England dan mengimpikan
kehidupan penuh bermakna dan indah. Selepas berkahwin, pasangan muda itu
merantau ke Paris, Itali, New York, kawasan pergunungan di barat Amerika
Syarikat dan California sebelum kembali ke rumah ibu bapa Valerie di
Massachussetts.
Semasa
merantau, mereka mengumpul barangan antik seperti almari dari Bologna, rak buku
dari Venice, kerusi biskop Ravenna, meja Louis-Quinze, tirai Chartres dan lampu
gangsa Siena. Walaupun usia semakin meningkat dan wang semakin berkurangan, Erasmus
dan Valerie masih berasa tidak puas hati dengan kehidupan mereka di Amerika lalu
mereka memutuskan untuk berhijrah kembali ke Paris.
Kehidupan
mereka untuk kali kedua di Paris hanya menimbulkan kekecewaan kerana keadaan
menjadi lebih buruk dan menyebabkan pasangan yang gemar bermewah-mewah itu
terpaksa hidup secara ala kadar. Malah, Erasmus hampir menjadi gila akibat
tekanan yang dihadapinya. Akhirnya, dia bersetuju untuk bekerja sebagai pensyarah
kesusasteraan Perancis, Itali dan Sepanyol di Cleveland University.
Secara
keseluruhan, karya-karya Lawrence dalam antologi ini memberi gambaran tentang
pandangan serta sikapnya yang dianggap tidak konvensional dalam kalangan masyarakat
kontemporari yang lebih mengejar aspek kebendaan pada era tersebut. Beliau
percaya aspek kemanusiaan telah dihakis oleh pertumbuhan pesat sektor industri dan
menyalahkan golongan pemodal serta pemain-pemain industri yang tidak
mempedulikan tentang kebajikan para pekerja. Perasaan simpati Lawrence terhadap
anggota masyarakat kelas bawahan dapat diterjemahkan melalui karya-karya pilihan
dalam antologi ini.
Comments