Konflik, peperangan dan perjuangan pahlawan Melayu latar utama Hikayat Pahang
Tajuk:
Hikayat Pahang
Penyelenggara:
Kalthum Jeran
Penerbit:
DBP, Kuala Lumpur
Tahun penerbitan:
2016
Bil. Halaman:
197
Hikayat
ini lebih merupakan catatan sejarah Pahang tanpa disulami unsur-unsur mitos dan
legenda. Ia merangkumi era pemerintahan Datuk Bendahara Seri Maharaja Ali, Bendahara
Tun Mutahir dan Bendahara Tun Ahmad (Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah). Kisah
dianggarkan bermula pada tahun 1832 sehingga 1932.
Sebahagian
besar daripada tempoh tersebut menyaksikan Pahang berdepan konflik peperangan
dengan Terengganu, orang Bugis, Raja Mahdi (Selangor) serta krisis dalaman yang
berpunca daripada pemberontakan Mat Kilau, Bahaman dan Imam Perang Rasu
terhadap campur tangan Inggeris dalam pentadbiran negeri. Pahang juga pernah
bertelagah dengan Johor dalam isu tuntutan kawasan Endau dan Rompin serta
hampir berperang.
Walaupun
sejarah mengiktiraf Mat Kilau, Bahaman dan Imam Perang Rasu (Tok Gajah) sebagai
pejuang bangsa, dalam Hikayat Pahang mereka digelar penderhaka. Sebaliknya,
pujian melambung diberikan kepada pegawai-pegawai tinggi penjajah Inggeris di
Pahang seperti Hugh Clifford dan J. P. Rodger.
Pengarang
hikayat ini turut memuji secara berlebihan terhadap Residen Jeneral Negeri-negeri
Melayu Bersekutu, W. Treacher. Dia digambarkan sebagai seorang pegawai penjajah
yang bijaksana, setiawan dan pandai mengambil hati sahabat-sahabatnya.
Agak
memualkan apabila dicatatkan: “Nampaknya
bagi sultan-sultan negeri yang persekutuan ini, jikalau tuan itu balik ke Eropah,
banyaklah dukacita kerana bercerai dengan sahabat yangi ikrab. Tambahan kasih
mesranya dan ramah tegur sapanya, sukarlah dapat sepertinya melainkan kita
semuanya berserulah kepada Tuhan, “Ya Allah, dipanjangkan Allah zaman umurnya,
harap mudah-mudahan bertambah-tambah pangkat darjatnya di dalam ghiatus selamat.”
Memang
pada mulanya, pihak istana agak keberatan untuk menerima ‘nasihat’ yang sebenarnya
berbentuk arahan daripada Residen Inggeris. Sebahagian pembesar menyatakan
mereka tidak bersetuju dengan hasrat Inggeris untuk ‘bersahabat’ dengan Pahang.
Matlamat sebenar penjajah Inggeris terserlah selepas perjanjian ditandatangani
apabila banyak syarikat dibuka bagi melicinkan urusan mengaut hasil bumi negeri.
Seperti
negeri-negeri Melayu yang lain, Pahang tidak mempunyai pilihan selain menandatangani
perjanjian yang berat sebelah, lebih memihak kepada kepentingan Inggeris. Kuasa
penjajah itu terkenal dengan amalan diplomasi kapal perang (gunship diplomacy) bagi menggertak raja-raja
Melayu untuk tunduk kepada kehendaknya. Amalan itu berterusan sehingga selepas
Perang Dunia Kedua di mana raja-raja Melayu ‘dipaksa’ bersetuju dengan gagasan
keparat Malayan Union.
Mungkin
Hikayat Pahang ditulis sebagai alat propaganda bagi meyakinkan rakyat pada
zaman itu serta generasi seterusnya tentang kewajaran menerima campur tangan
penjajah Inggeris dalam pentadbiran negeri. Namun, kebenaran terserlah akhirnya
dan Mat Kilau, Datuk Bahaman serta Tok Gajah dikenang dalam lipatan sejarah
sebagai pejuang-pejuang yang sanggup mengorbankan pangkat, harta dan nyawa demi
mempertahankan maruah bangsa.
(Habis dibaca pada 16 Januari 2019)
(Habis dibaca pada 16 Januari 2019)
Comments