Dunia remaja pelaut merangkap nasionalis Melayu pasca Perang Dunia Kedua





Tajuk: Warna Hati Era Remaja

Penulis: Arena Wati

Penerbit: Penerbit UPSI, Tg Malim

Tahun penerbitan: 2008

Bil. Halaman: 379


Ulasan:

Era remaja yang dilalui watak utama dalam novel ini, Abdul Rahim Daeng Massare memang banyak warna-warninya. Berlatarkan situasi tidak menentu di Indonesia dan Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua sehingga tahun 1950, watak Abdul Rahim yang digambarkan sebagai seorang kelasi kapal dagang yang berpengalaman turut memainkan peranan penting di sebalik tabir dalam gerakan menuntut kemerdekaan oleh dua negara rumpun Melayu itu.

Abdul Rahim menggunakan nama samaran Sahak bin Muhammad Ali yang berasal dari Serkam Laut, Melaka bagi melindungi identiti sebenarnya ketika bertugas di kapal-kapal dagang milik syarikat perkapalan Belanda iaitu De Eirens, Baud dan Van Riemsdijk. Peranannya lebih tertumpu sebagai pemecah sekatan dagangan yang dikuatkuasakan oleh penjajah Belanda bagi mematahkan perjuangan memerdekakan Indonesia.

Selain daripada menyeludup barang-barang yang diperlukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia, Abdul Rahim dan beberapa kelasi lain turut membantu menyalurkan maklumat tentang tentera Belanda yang menaiki kapal mereka serta membalas dendam terhadap individu-individu yang mengkhianati gerakan kemerdekaan. Namun, identiti sebenar Abdul Rahim terdedah ketika bertugas di kapal Van Riemsdijk.

Kapten Beckmann yang mengetuai operasi kapal itu menyedari Abdul Rahim @ Sahak bukan calang-calang kelasi berikutan keupayaannya mengendalikan pelayaran yang jauh lebih baik berbanding pegawai-pegawai Belanda sendiri. Abdul Rahim juga boleh menuturkan bahasa Belanda dan Jerman dengan baik.

Kehidupan remaja Abdul Rahim pada tempoh masa yang dikisahkan dalam novel ini amat berbeza dengan dunia remaja generasi era memenuhi kemerdekaan termasuk saya sendiri. Pada usia yang masih muda, beliau dan rakan-rakannya sanggup mengorbankan nyawa, harta dan impian semata-mata untuk memastikan Indonesia dan Tanah Melayu bebas daripada cengkaman kuasa-kuasa asing. Sedangkan saya pada usia remaja hampir hanyut dibuai budaya kuning dari negara-negara asing. Mujurlah, saya tidak sesat dan tahu mencari jalan pulang.

Walaupun terlibat dalam gerakan gerila bersenjata di Indonesia, Abdul Rahim menolak perjuangan komunis yang tidak beragama dan keganasan yang dilakukan terhadap orang awam bangsa Belanda khususnya wanita dan kanak-kanak. Beliau yakin sasaran yang sebenar ialah golongan kapitalis Belanda yang mempengaruhi sikap degil kerajaan Belanda untuk terus menjajah Indonesia selepas Perang Dunia Kedua. Rakyat Belanda sendiri digambarkan sebagai golongan yang menderita apabila negara itu ditakluki Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Sepanjang membaca novel ini, saya tertanya-tanya sama ada kisah yang disampaikan merupakan perjalanan kehidupan remaja Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Dahlan Abdul Baing. Pada muka 238, Allahyarham menulis:

“Hari ini 27 Disember 1949 amat penting bagi diri aku, kerana pada hari inilah aku berada pada simpang jalan sejarah hidupku. Aku akan pilih laluan yang akan aku tempuh, untuk hari depanku.

Entah kenapa. Tapi sekarang inilah, walau pun nama itu, sudah kuperam lebih dua tahun dalam sanubariku, kini dalam Kebun Binatang Wonokromo kukeluarkan pisau lipat dari saku dan menukil pada pangkal buluh gading sebesar lengan, aksara berikut:

*Aku di sini, pada 27-12-1949: Arena Wati S.*


Maksud selengkap nama itu ialah Arena Wati Sulawesi. Makna yang sebenarnya ialah, Gelenggang Semesta dari Sulawesi.”

Tidak terdapat catatan dalam mana-mana bahagian novel ini yang menyatakan secara jelas bahawa watak Abdul Rahim Daeng Massare adalah cerminan Allahyarham Bapak Arena Wati sendiri. Mungkin beliau mahu pembaca mentafsirkannya sendiri dengan membandingkan pengalaman Allahyarham yang luas dalam dunia kepelautan serta nasionalisme Melayu.


(Selesai dibaca pada 13 Mac 2019.)

Comments

Popular posts from this blog

Hikayat Gul Bakawali: Kalau sudah jodoh tidak ke mana

Hikayat Si Miskin

Badak makan anak dalam Hikayat Raja Pasai